Ketiga-tiga batu bersurat di atas, dijumpai di daerah-daerah yang berlainan, iaitu di Minangkabau, di Aceh dan di timur Tanah Melayu. Kesemuanya yang bertarikh abad keempat belas, adalah pernyataan dari zaman peralihan di Kepulauan Melayu, apabila masyarakat yang dipengaruhi oleh kebudayaan India dalam segala aspeknya itu, sedikit demi sedikit dimasuki oleh suatu anasir yang baharu, iaitu kebudayaan Islam. Kiblat penduduk Kepulauan Melayu mulai ketika itu telah berubah dari India ke negeri Arab, sungguhpun anggapan yang demikian agak mengelirukan kerana India memainkan peranannya yang besar.