Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga berkenaan ialah bunga raya, bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga tanjung.
Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, satu kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai. Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.